Berikut adalah antara soalan yang biasa ditanya mengenai perkhidmatan fotografi, videografi dan audio visual. Diharap, ianya dapat membantu anda untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.
1)Bolehkan anda merakam gambar perkahwinan saya yang akan diadakan di luar kawasan anda?
Kami boleh memberi perkhidmatan di seluruh Malaysia, tetapi perkhidmatan di luar kawasan melibatkan beberapa kos tambahan. Jumlah kos tambahan yang terlibat bergantung kepada berapa jauh sesuatu tempat dan samada perlu bermalam atau tidak.
2) Apakah ciri-ciri seorang jurukamera profesional?
Dari segi makna profesional itu sendiri bermaksud jurukamera itu mendapat bayaran dari kerja yang dilakukannya. Sudah tentu beliau mahir dengan tugasnya sehingga boleh dijadikan sumber pendapatan. Beserta dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki, seseorang jurukamera profesional akan menghasilkan kerja yang terbaik kerana produk yang dihasilkannya itulah akan menentukan samada beliau akan mendapat pendapatan seterusnya pada masa akan datang.
3) Mengapakah terdapat perbezaan harga yang ditetapkan oleh jurugambar? Apakah faktor yang menyebabkan perbezaan harga tersebut?
Seperti juga bidang pekerjaan yang lain, pengetahuan dan pengalaman kerja adalah satu faktor yang menentukan tinggi atau rendah pendapatan yang layak dimiliki oleh seseorang itu. Begitu juga dengan jurugambar. Seseorang jurugambar yang mempunyai pengetahuan luas dan berpengalaman dalam bidang fotografi akan meletakkan harga yang lebih tinggi berbanding jurugambar lain yang baru menceburi bidang fotografi. Selain dari itu, faktor kualiti peralatan yang digunakan, kualiti produk dan perkhidmatan tambahan juga menyumbang kepada perbezaan harga di antara jurugambar. Walau bagaimana pun, dari apa yang dinyatakan ini, mungkin perkara yang sebaliknya berlaku.
4) Berapa lamakah masa yang akan diambil untuk menyiapkan kesemua gambar foto dan video majlis perkahwinan?
Biasanya, kami menyiapkan gambar foto dan video dalam tempoh 3 minggu. Tetapi, ini semua bergantung kepada kerumitan kerja sesuatu pakej yang dikehendaki oleh pelanggan.
5) Apakah jaminan yang boleh saya dapati bahawa jurugambar yang ditempah pasti akan hadir pada majlis perkahwinan saya. Bagaimana sekiranya jurugambar tersebut sakit, berlaku kecemasan dan sebagainya? Saya pernah terdengar cerita ada jurugambar tidak datang untuk merakam gambar pada hari yang dijanjikan sedangkan wang deposit telahpun diambil.
Kami menjalankan perniagaan ini secara telus dan jujur. Reputasi adalah amat penting bagi kami. Setiap tugasan akan dilakukan dengan penuh komitmen kerana biasanya pelanggan yang berpuas hati akan mencadangkan kami kepada rakannya yang lain. Kes jurugambar tidak hadir pada majlis perkahwinan tidak pernah berlaku di pihak kami. Dengan pengalaman yang ada dalam bidang fotografi, kami mempunyai rangkaian jurugambar yang luas. Ini bermakna, kami sentiasa mempunyai sebilangan jurugambar sokongan yang sentiasa bersedia untuk menggantikan jurugambar yang tidak dapat melaksanakan tugasnya sekiranya berlaku perkara yang tidak dapat dielakkan.
6) Saya telah membuat survey ke atas 3 orang jurukamera video profesional untuk merakam gambar majlis perkahwinan saya. Saya perlu memilih seorang dari mereka untuk merakam gambar pada majlis perkahwinan saya nanti. Tetapi, agak sukar untuk memilih jurukamera yang paling sesuai. Harga bukanlah masalah utama, yang penting saya mendapat kualiti yang terbaik. Harap saudara dapat memberikan sedikit panduan.
Sekiranya ketiga-tiga jurukamera yang anda dapati itu adalah jurukamera profesional, maka anda perlu meneliti kriteria lain untuk memilih yang terbaik. Kriteria yang dimaksudkan itu adalah bidang pengkhususan atau kepakaran. Terdapat berbagai bidang pengkhususan dalam videografi. Antaranya ialah jurukamera studio TV, jurukamera dokumentari, jurukamera berita, jurukamera majlis rasmi dan jurukamera perkahwinan. Setiap jurukamera mahir dalam bidang pengkhususan tertentu sahaja. Untuk kualiti yang maksimum, dapatkan jurukamera yang mengkhusus dalam rakaman majlis perkahwinan. Pastikan anda melihat contoh hasil kerja jurukamera berkenaan terlebih dahulu.
7) Saya ingin mencari jurugambar untuk majlis perkahwinan saya. Adakah jurugambar yang dicadangkan oleh Mak Andam boleh memberikan hasil gambar yang baik?
Mak Andam hanya bertindak sebagai ejen kepada jurugambar. Pastikan jurugambar yang dicadangkan oleh Mak Andam benar-benar mahir dan menepati citarasa anda. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ketahui latarbelakang jurugambar dan lihat contoh gambar beliau. Sebaiknya, hubungi terus jurugambar tersebut dan berbincang sendiri dengan beliau supaya tidak berlaku salah faham tentang apa yang sebenarnya yang bakal anda perolehi dari wang yang anda belanjakan.
8) Bilakah selewat-lewatnya saya perlu membayar deposit untuk menempah perkhidmatan jurugambar?
Tidak ada tarikh akhir yang ditetapkan untuk membuat tempahan. Kami boleh memberi perkhidmatan yang diperlukan selagi ada jurugambar yang boleh bertugas pada tarikh yang diperlukan. Namun, untuk mengelakkan ketiadaan jurugambar pada saat akhir, tempahan awal adalah amat digalakkan. Terutamanya pada musim cuti sekolah dan cuti umum, kesemua jurugambar kami biasanya akan mempunyai jadual yang ketat. Namun, tempoh yang ideal untuk menempah jurugambar adalah 6 bulan sebelum tarikh perkahwinan.
9)Mengapakah kebanyakan jurugambar meminta wang deposit yang tinggi iaitu sebanyak 50% dari keseluruhan harga pakej untuk menempah perkhidmatan mereka?
Tempahan untuk perkhidmatan fotografi atau videografi perkahwinan sebenarnya adalah tempahan ke atas tarikh. Apabila anda telah menempah tarikh yang tertentu untuk sesuatu perkhidmatan, seseorang jurugambar hanya boleh melaksanakan tugasan untuk anda sahaja pada tarikh dan masa yang ditempah. Sebarang tugasan lain pada tarikh dan masa yang sama akan ditolak. Namum, bayaran deposit kurang dari 50% boleh dirunding di pihak kami.
10) Saya ingin mengadakan majlis perkahwinan saya secara ringkas sahaja. Apakah pakej jurugambar yang paling murah yang boleh anda tawarkan?
Kami boleh memberikan pakej jurugambar mengikut kemampuan anda selain dari pakej biasa yang kami tawarkan. Hubungi kami dan nyatakan maklumat majlis anda dan kami akan cuba memberikan harga yang terbaik dengan mengeluarkan beberapa item yang tidak diperlukan oleh anda.
11) Apakah khidmat nasihat yang saudara boleh berikan mengenai persiapan majlis perkahwinan saya, terutamaya dari segi fotografi, video & sistem bunyi?
Untuk sesebuah majlis perkahwinan yang ingin diadakan secara besar-besaran, amatlah perlu khidmat nasihat mengenai keperluan teknikal diperolehi. Beberapa perjumpaan boleh diaturkan bagi membincangkan jenis perkhidmatan yang diperlukan, jenis pakej, jumlah krew, taklimat aturcara majlis, jadual kerja persediaan, perkara penting yang ingin dirakam, perbincangan harga dan sebagainya.
12) Apakah jenis peralatan yang saudara gunakan untuk merakam gambar majlis perkahwinan saya?
Untuk perkhidmatan fotografi, kami menggunakan sistem kamera Nikon digital sepenuhnya, manakala untuk video, kami menggunakan kamera video digital, sistem Panasonic. Peralatan yang digunakan juga adalah dari jenis yang boleh dikendalikan dengan cepat dan mudah. Ini bagi memastikan kami mampu melakukan rakaman majlis perkahwinan anda dengan lebih cekap dan praktikal. Namun disebalik peralatan yang canggih dan moden, kepakaran jurugambar jugalah akhirnya yang akan menentukan kualiti sesuatu gambar yang dihasilkan.
14) Disamping menggunakan perkhidmatan jurugambar foto, apakah kepentingan untuk menggunakan khidmat jurugambar video?
Berbeza dengan gambar foto, gambar video menampilkan gambar gerak beserta dengan audio. Anda boleh mendengar ucapan lafaz ijab dan kabul, ucapan semasa majlis resepsi dan sebagainya. Gambar video juga bertindak sebagai pelengkap kepada gambar-gambar foto. Misalnya, sekiranya sesuatu perkara atau orang tidak dirakam oleh jurugambar foto, terdapat peluang gambar tersebut ada dirakam di dalam gambar video. Oleh kerana gambar video menunjukkan pergerakan, ianya kelihatan lebih hidup dan mampu menceritakan suasana sebenar majlis perkahwinan anda.
15) Rakan saya menawarkan untuk merakam gambar perkahwinan saya dengan percuma. Tetapi, saya juga ada bercadang untuk mengupah jurugambar professional. Apa pendapat saudara?
Pastikan rakan anda benar-benar mahir dalam merakam gambar perkahwinan. Jika tidak, jangan mengambil risiko ini kerana majlis perkahwinan adalah satu acara penting yang berlaku hanya sekali dalam hidup anda. Kami cadangkan anda mengambil jurugambar professional bersama-sama rakan anda tadi. Minta jurugambar professional merakagambar acara penting manakala rakan anda tadi boleh merakam gambar-gambar lain seperti gambar tetamu atau gambar kandid. Jadi, anda akan dapat liputan yang lebih menyeluruh dan lebih terjamin.
No comments:
Post a Comment