CARA MELANGGAN PERKHIDMATAN SP

Sila emelkan butiran majlis untuk tempahan, pihak SP akan menghubungi anda untuk persetujuan. Terima kasih. Lihat Pakej Sukahati sebelum mengisi borang langganan dibawah.
emelkan ke : sukahatikulah@gmail.com
Klik sini :

7 Istilah Yang Anda Perlu Tahu Dalam Fotografi Perkahwinan

-Seperti yang tersiar di dalam majalah Pesona Pengantin
-Oleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif.


1) ‘Photographer’ atau ‘cameraman’
Sebenarnya, perkataan ‘photographer’ dan ‘cameraman’ merujuk kepada dua kerjaya yang berbeza. ‘Photographer’ atau jurugambar adalah orang yang merakam gambar foto. Manakala ‘cameraman’ atau jurukamera adalah orang yang merakam gambar video. Jadi, gunakan istilah yang betul agar tidak timbul kekeliruan dalam komunikasi anda.
 
2) Fotografi digital & analog
Fotografi digital menggunakan kaedah merakam gambar foto tanpa menggunakan filem. Fotografi analog pula memerlukan filem sebagai alat untuk merakam gambar. Penggunaan kamera digital amat meluas pada masa kini kerana ianya amat memudahkan kerja jurugambar, sekaligus membantu jurugambar merakam gambar dengan lebih baik. Sekiranya gambar anda dirakam dengan kamera analog, anda perlukan negatif untuk membuat cetakan gambar. Namun, jika kamera digital digunakan, anda perlukan fail jpeg atau lain-lain fail imej untuk membolehkan gambar itu dicetak. Fail gambar ini biasanya disimpan di dalam CD. Gambar dari kamera digital hanya boleh dicetak di kedai gambar digital.

3) ‘Photojournalistic style’ & gaya fotografi tradisional
Rakaman gambar perkahwinan dengan pendekatan ‘photojournalist’ semakin diminati ketika ini. Gaya fotografi ini memperlihatkan banyak rakaman gambar kandid dengan aksi bersahaja. Setiap perkara akan dirakamkan seperti mana ianya berlaku tanpa arahan dari jurugambar. Antara teknik yang digunakan adalah penggunaan cahaya semulajadi yang membuatkan sesuatu gambar itu lebih realistik. Gaya fotografi tradisional pula adalah pendekatan rakaman gambar yang lebih tertumpu kepada rakaman potret pasangan pengantin dan perkara lain yang berkaitan secara terus denga sesuatu majlis perkahwinan. Namun, selain dari gaya yang disebutkan, terdapat banyak lagi pecahan gaya lain dalam rakaman gambar perkahwinan.

4) Album ‘sticky’, poket dan eksklusif
Album ‘sticky’ adalah album dimana kita boleh melekatkan gambar di atas mukasuratnya dan kemudian gambar tersebut akan dilitupi oleh helaian plastik nipis. Album poket atau ‘slip-in’ pula adalah album yang sudah siap mempunyai ruang berpoket untuk kita menyisip gambar ke dalamnya. Kini, dengan perkembangan teknologi fotografi digital, sejenis lagi album gambar telah diperkenalkan. Album gambar ini mampu mempersembahkan gambar foto dengan cara yang sangat menarik. Album gambar ini dikenali dengan beberapa nama seperti ‘exclusive album’, ‘digital album’, ‘special album’, ‘storyboard album’ dan sebagainya. Secara umumnya, album ini bersaiz
8 X 10 inci atau lebih besar. Gambar-gambar di dalamnya akan disusun atur dengan saiz dan kesan khas yang pelbagai.

5) Saiz gambar
Terdapat berbagai saiz gambar yang biasa digunakan. Gambar 3R bersaiz
3 X 5 inci adalah satu saiz yang popular satu masa dulu, kini digantikan dengan saiz 4R iaitu 4 X 6 inci. Gambar saiz ini biasanya sesuai dimuatkan ke dalam album. Untuk saiz yang lebih besar yang sesuai dipaparkan dalam bingkai untuk hiasan meja adalah 5R ( 5 X 7 inci ) dan 8R ( 8 X 10 inci ). Gambar yang lebih besar dan sesuai untuk bingkai hiasan dinding adalah saiz 11R ( 11 X 14 inci ) atau 16R ( 16 X 20 inci ). Anda juga boleh cuba membesarkan gambar dengan saiz ‘panoramic’ atau ‘square’ untuk mendapatkan kelainan pada paparan gambar anda. Satu perkara penting yang harus diingat sebelum membesarkan gambar ialah, anda perlu pastikan yang gambar tersebut benar-benar tajam dan beresolusi tinggi. Jika tidak, gambar tersebut akan kelihatan kabur setelah dibesarkan.
6) Pembantu jurugambar
Ada jurugambar yang menggunakan pembantu jurugambar apabila melakukan tugasan merakam gambar perkahwinan. Pembantu jurugambar penting untuk membolehkan jurugambar bekerja dengan lebih efisyen. Jurugambar akan memberi sepenuh tumpuan kepada aspek artistik sesuatu subjek, manakala pembantu jurugambar akan membantu dari aspek teknikal. Namun, cara kerja ini melibatkan kos tambahan pada harga perkhidmatan fotografi yang diberikan.

7) Gambar hitam putih dan sepia
Gambar hitam putih dan sepia ( warna coklat ) kini semakin diminati. Ianya memberikan sentuhan klasik atau nostalgia pada sesebuah gambar. Namun, kebanyakan gambar hitam putih atau sepia ketika ini tidak melalui proses yang tulen sebagaimana gambar hitam putih yang sebenarnya. Ini kerana, kos untuk menghasilkan gambar hitam putih yang tulen adalah lebih tinggi dari kos untuk menghasilkan gambar warna. Gambar hitam putih yang asli dihasilkan dengan merakam gambar menggunakan filem hitam putih dan dicetak di atas kertas hitam putih juga. Tona gambarnya lebih baik dan ianya tahan lebih lama. Kebanyakan gambar hitam putih sekarang ini dihasilkan dengan merakam gambar dengan kamera digital. Kemudian, gambar tersebut diubahsuai menjadi hitam putih di dalam komputer dan seterusnya dicetak seperti biasa.

No comments:

Post a Comment